Covid-19: KKM lakukan ujian berskala besar 

0
119

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar termasuk melakukan ‘mass testing’ khususnya di kawasan yang berisiko tinggi. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara strategi akan dilakukan ialah mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit yang didapati positif Covid-19.

Menurut beliau, kerajaan menjangkakan kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat.

“Saya diberikan taklimat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa peningkatan kes-kes positif Covid-19 dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya tidak melakukan apa-apa. 

“Jumlahnya mungkin meningkat berkali-kali ganda lagi seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain. 

“Dari satu segi Perintah kawalan pergerakan yang kita ambil telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen utama negara hari ini.

Tambah Muhyiddin, pada masa ini kes-kes baharu masih dicatatkan walaupun dalam tempoh beberapa hari lalu jumlahnya agak mendatar.

“Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan Covid-19 dikesan, sehingga pukul 12 tengah hari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.

“Tujuh hari lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif Covid- 19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kadar jangkitan wabak itu begitu cepat dan hari ini seramai 422,829 orang telah dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.

“Covid-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. 

“Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia,” ujarnya. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here