Covid-19: Kumpulan AirAsia gantung beberapa penerbangan antarabangsa

0
159

KUALA LUMPUR — AirAsia Group Bhd telah menggantung kesemua penerbangan antarabangsa bagi sementara waktu untuk operasi di Malaysia, Thailand dan Filipina kerana penularan Covid-19.

Bagi AirAsia Indonesia, kumpulan syarikat penerbangan itu telah mengurangkan kekerapan penerbangan antarabangsanya, sementara operasi domestik diteruskan pada jumlah kekerapan yang dikurangkan.

“Ahli Lembaga percaya bahawa penggantungan penerbangan sementara ini tindakan yang betul untuk memastikan kesejahteraan penumpang, tetamu dan kakitangan kami, ia akan kekal sebagai keutamaan dalam perniagaan kami dalam masa yang mencabar sekarang.

“Syarikat itu akan terus menilai keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia untuk meneruskan kembali perkhidmatan sebaik sahaja keadaan bertambah baik, tertakluk kepada kelulusan oleh pengawal seliaan,” kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Memetik laporan Bernama, kumpulan itu berkata semua penerbangan antarabangsa dan domestik AirAsia Malaysia digantung sementara dari 28 Mac hingga 21 April ini.

Dalam pada itu, penggantungan sementara untuk AirAsia Filipina melibatkan penerbangan antarabangsa dan domestik dari 20 Mac hingga 14 April ini, ketika tempoh kuarantin komuniti di Luzon, serta di bahagian lain di negara tersebut.

Bagi AirAsia Thailand, penggantungan sementara semua penerbangan antarabangsa adalah dari 22 Mac hingga 25 April manakala operasi domestiknya diteruskan pada kekerapan yang berkurangan.

Sementara itu, AirAsia India, yang hanya menjalankan operasi laluan domestik telah menggantung penerbangannya selama 21 hari, bermula semalam bagi mematuhi penggantungan dilaksanakan kerajaan bagi semua penerbangan domestik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here