Covid-19: Majikan perlu patuhi Akta Kerja 1955

0
295
Seorang kakitangan Lembaga Zakat Selangor memeriksa suhu badan pelanggan di pejabat agensi itu di Shah Alam, Selangor.

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengingatkan supaya majikan dan pekerja menggunapakai peruntukan-perutukan yang digariskan di bawah Akta Kerja 1955 susulan penularan wabak Covid-19.

Melalui satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi KSM hari ini, kementerian itu menjelaskan, mana-mana majikan yang gagal mematuhi garis panduan dalam pengendalian isu penularan wabak itu di tempat kerja, khususnya membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian kerja boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kerja 1955.

Menurut KSM, garis panduan berhubung perintah kuarantin, pemberhentian kerja, kelayakan cuti dan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan pekerja sepanjang Covid-19 termaktub mengikut Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955.

Tangkap layar daripada laman Faceboom KSM mengenai Covid-19

“Berdasarkan Seksyen 60F, majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan Covid-19.

“Pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, hendaklah diberikan kemudahan bayaran tambahan, selain diarahkan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan atas pembiayaan majikan,”menurut kenyataan itu.

Selain itu kenyataan itu juga menyatakan, tempoh kelayakan cuti sakit bergaji dalam setahun adalah 14 hari jika tempoh bekerja kurang dua tahun, 18 hari jika bekerja antara dua hingga lima tahun dan 22 hari jika tempoh bekerja melebihi lima tahun.

“Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia adalah suatu kesalahan mengikut seksyen itu.

Mengikut Seksyen 60E (1B) pula, pekerja yang diberi perintah kuarantin atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh berkenaan, “jelasnya kenyataan tersebut.

Kementerian itu turut menegaskan, majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa perintah kuarantin atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah yang dikeluarkan pengamal perubatan berdaftar.

“Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja itu, ” katanya.

Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan Covid-19 seperti disyorkan tatacara untuk keharmonian perusahaan, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

“Selain itu, majikan juga boleh mengurangkan waktu bekerja harian, melaksanakan pemberhentian kerja sementara, misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan gaji berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula.

“Langkah terakhir yang boleh dilaksanakan selepas tindakan penjimatan kos lain sudah dilaksanakan ialah dengan mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat, ” katanya.

Kementerian juga meminta majikan merujuk garis panduan pengurusan pemberhentian pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sekiranya perlu mengurangkan tenaga kerja akibat kemerosotan dalam perniagaan.

“Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada JTK terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan pemberhentian pekerja termasuk secara sukarela, sementara atau pengurangan gaji.

“Kegagalan majikan mengikut undang-undang berdasarkan akta berkenaan boleh dikenakan hukuman, termasuk denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Kementerian itu memaklumkan, susulan penularan Covid -19, JTKSM menubuhkan bilik gerakan pemantauan pemberhentian pekerja di peringkat jabatan untuk merekod maklumat berhubung tindakan itu di Semenanjung dan memantau maklumat situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan wabak itu.

Katanya, pihak kementerian juga meminta majikan membuat saringan terhadap pekerja termasuk, membantu mengenal pasti sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang menghadiri mana-mana perhimpunan tabligh dan perhimpunan keagamaan di Pulau Pinang.

“Sekiranya ada, kerjasama majikan dipohon supaya mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut, ” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here