Covid-19: Malaysia minta China hantar pakar perubatan

0
110

CYBERJAYA- Kerajaan akan memohon China menghantar pakar perubatan negara itu ke Malaysia bagi membantu barisan hadapan kesihatan memerangi wabak Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra menggunakan hubungan baik Malaysia dengan kerajaan luar negara bagi mendapatkan bantuan pakar dan peralatan perubatan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara.

“Melalui hubungan antara Malaysia dan China, Wisma Putra termasuk saya sendiri mula berbincang dengan kerajaan China bagi memohon bantuan menghantar pakar khususnya dalam bidang perubatan ke Malaysia dengan segera.

“Langkah ini bertujuan membantu petugas barisan hadapan kita perangi wabak ini habis-habisan.

“Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan daripada 26 hospital di Malaysia akan mengadakan sidang video dengan pakar perubatan yang berada di China, Khamis ini bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengenai hubungan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hishammuddin berkata, Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada kerajaan itu dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu dikongsi ketika menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here