Covid-19: Malaysia sekat kemasukan rakyat Itali, Iran, Korea Selatan

0
131

CYBERJAYA – Malaysia memutuskan untuk menyekat kemasukan semua rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan serta warga asing lain yang tiba dari negara berkenaan berkuat kuasa 13 Mac ini.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata,
langkah itu diambil bagi menyekat penularan Covid-19, yang mana setakat ini sudah mencatatkan 129 kes di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Itali, Iran dan Korea sekiranya perjalanan itu tidak mendesak atas faktor risiko semasa berada di negara berkenaan.

“Mana-mana rakyat Malaysia atau penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari tiga negara berkenaan akan dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Perintah ini berkuat kuasa 13 Mac 2020,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, seramai 68 orang termasuk 20 rakyat asing kebanyakannya dari China dibenarkan pulang selepas mereka didapati negatif Covid-19.

Beliau juga memaklumkan bahawa keputusan Jemaah Menteri sebelum ini berhubung sekatan perjalanan ke tiga wilayah di China iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu serta Hokaido di Jepun masih berkuat kuasa.

Dr. Adham berkata, bagi rakyat Malaysia yang masih berada di ketiga-tiga negara terbabit, tindakan kuarantin akan dikenakan di sana.

“Bagi rakyat Malaysia yang masih terkandas di China, tindakan lanjut akan dilakukan berpandukan cadangan daripada Wisma Putra,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here