Covid-19: MTUC cadang tabung bantu B40, M40

0
98

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan menyusun semula pendekatan dalam membantu rakyat mengurangkan impak wabak Covid-19 dengan menggantikan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) kepada Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, usaha itu bagi melindungi sumber pendapatan semua pekerja terutamanya golongan daripada kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40) untuk jangka panjang sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas tamat tempoh pada 31 Mac ini.

“Apa yang dihadapi negara bukan krisis ekonomi semata-mata, sebaliknya ia adalah pandemik global yang mengancam nyawa setiap manusia. Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat yang dicadangkan ini penting bagi memastikan kelangsungan rakyat yang berdepan krisis ekonomi dan kesihatan akibat Covid-19.

“Keutamaan segera tabung ini adalah memastikan pekerja tidak mengalami sebarang kerugian atau kehilangan faedah sekiranya PKP itu dilanjutkan,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata, fokus jangka panjang tabung itu adalah untuk memastikan orang awam khususnya pekerja B40, M40 serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti selain pendapatan berterusan dan mapan.

PRE2020 adalah usaha kerajaan bagi memastikan risiko ekonomi akibat penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan efektif berdasarkan strategi yang telah digariskan.

Solomon berkata, antara cadangan yang boleh diterapkan bagi membantu golongan B40 dan M40 menerusi tabung itu adalah pembayaran upah pekerja tidak dinafikan majikan, menggubal dan melaksanakan perintah kecemasan mengenai jaminan pekerjaan semasa negara dalam krisis.

Cadangan lain adalah tindakan kepada yang ingkar, mengawal harga makanan dan keperluan penting isi rumah, potongan 50 peratus untuk bil air serta elektrik dan penangguhan selama enam bulan pembiayaan bayaran balik pinjaman oleh bahagian pinjaman perumahan kerajaan bagi menggalakkan kecairan atau mudah tunai dalam pasaran selain dapat membantu menampung keperluan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here