Covid-19: Mufti Perlis mohon peserta ijtimak jalani saringan

0
119

CYBERJAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memohon agar para tabligh yang menyertai program Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur membuat pemeriksaan saringan Covid-19.

Beliau menjelaskan bahawa alasan enggan menjalani saringan kerana penyakit itu datang dari Allah SWT dan perlu reda adalah salah kerana ia membahayakan masyarakat yang lain.

“Ada yang memberikan alasan penyakit dari Allah, kita perlu reda, ada pula yang berkata masjid tempat baik, tiada jangkitan akan berlaku, ada pula berkata jangan takut virus tapi takut Allah, ada pula berkata kalau mati syahid dan pelbagai lagi falsafah yang disalahgunakan.

“Penyakit ini berjangkit, jika sekadar menimpa seseorang tanpa membabitkan orang lain, maka itu terpulang pada individu tersebut. Ada pendapat fuqaha di situ.

“Namun, bagi virus yang mudah berjangkit seperti ini, ditambah dengan kehadiran saudara-saudara secara aktif ke masjid dan surau, amatlah salah kerana telah membahayakan masyarakat lain,” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun Facebook milik beliau hari ini.

Mohd. Asri turut menegaskan bahawa Islam melarang umatnya membahayakan pihak lain tanpa alasan yang benar.

“Tidak wajar kita menambah beban kepada pihak Kementeria Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencari saudara-saudara ke serata tempat untuk diperiksa.

“Saya difahamkan di Perlis pihak KKM terpaksa buat operasi mencari saudara-saudara yang terbabit. Berikanlah kerjasama dan kasihanilah umat Islam yang lain.

“Bahkan bukan Muslim sekalipun tidak boleh kita membahayakan mereka. Janganlah saudara-saudara hadir ke masjid atau selainnya melainkan saudara-saudara disahkan selamat,” katanya.

Justeru beliau merayu agar mereka yang terlibat melakukan pemeriksaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Beberapa pihak memaklumkan kepada saya masih ada yang belum melakukan pemeriksaan.

“Saya benar-benar memohon merayu kepada saudara-saudara yang terbabit. Saya percaya saudara-saudara orang yang baik-baik dan ingin mencari redha ALLAH. Niat saudara ingin berjamaah juga baik, tapi tolonglah,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here