Covid-19: Negara kerugian RM3.37 bilion

0
167
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Kerajaan menganggarkan jumlah kerugian yang dialami sektor pelancongan negara bermula Januari hingga Februari lalu mencecah RM3.37 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menganggarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 billion hingga RM17.3 billion.

Beliau berkata, ia susulan pakej pelancongan dibatalkan dan telah menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan.

“Saya sedar langkah segera perlu dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara khususnya kepada rakyat.

“Untuk itu kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya dapat dirasai oleh anda semua dengan segera,” katanya dalam perutusan khas mengenai Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga memutuskan semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan diarahkan untuk ditangguhkan atau dibatalkan hingga 30 April depan.

Katanya, keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga sedang dalam proses untuk membawa pulang seramai 388 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih berada di Iran dan Itali susulan penularan wabak itu yang semakin kritikal di dua negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara yang terjejas teruk dengan Covid-19 termasuklah 65 yang kini masih berada di Iran dan 323 di Itali.

“Hingga kini kerajaan sudah membawa pulang seramai 107 rakyat Malaysia dari sebahagian negara yang terjejas teruk dengan Covid-19 iaitu China, Iran, Itali dan Korea Selatan, ” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; selain di Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Korea Selatan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here