Covid-19: Pejabat KWSP Jalan Raja Laut ditutup sehingga Jumaat ini

0
255

CYBERJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sehingga Jumaat ini berikutan seorang ahlinya disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan menerusi hantaran akaun Facebook agensi itu, ahli tersebut telah berurusan di pejabat berkenaan pada 27 Februari antara pukil 2.00 hingga 2.30 petang dan disahkan positif pada 3 Mac lalu.

Kata kenyataan itu, Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli tersebut telah dijangkiti Covid-19 sebelum dia berurusan di pejabat KWSP.

“Kami telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli tersebut dan telah menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan.

“Pegawai-pegawai lain dari pejabat tersebut juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan,” kata kenyataan itu sambil menambah ahli tersebut telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Jelas kenyataan itu, langkah proaktif telah diambil dengan menutup pejabat tersebut untuk menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat serta kawasan persekitaran dan akan beroperasi semula pada 16 Mac ini.

“Untuk makluman ahli, KWSP juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari lalu bagi meminimumkan risiko pendedahan kepada Covid-19.

“Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit.

“Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, kaunter-kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa namun, ahli digalakkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.

“Ahli juga dinasihatkan untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kesihatan terdekat sekiranya mempunyai simptom-simptom yang berkaitan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan memakai peralatan perlindungan diri yang bersesuaian sebelum berurusan di kaunter,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, agensi tersebut juga ingin meyakinkan semua anggota, ahli dan majikan bahawa pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini Covid-19 dan akan melaksanakan sebarang langkah-langkah pencegahan yang diperlukan.

“Sebarang kesulitan yang dialami sewaktu pelaksanaan langkah-langkah ini adalah amat dikesali dan kami akan memaklumkan tentang situasi terkini dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here