Covid-19 : Pelajar kita di UK kebingungan susulan kes naik mendadak

0
199

MANCHESTER – Pelajar Malaysia di United Kingdom (UK), terutama di Manchester berada dalam kebingungan hingga tidak tahu tindakan patut dilakukan seterusnya susulan jumlah kematian akibat Covid-19 melepasi 1,000 orang manakala 17,000 kes dicatatkan di negara ini.

Terdahulu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa rakyat Maaysia yang masih berada di UK dan Amerika Syarikat (AS) mengambil penerbangan balik ke tanah air selagi penerbangan komersial masih beroperasi di samping mengelakkan komplikasi yang tidak sepatutnya.

Difahamkan nasihat itu dituju kepada rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara setelah pergi bercuti, atas urusan peribadi serta lawatan berhubung dengan kerja.

Pada waktu sama, pelajar Malaysia di bawah program tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dinasihati agar kekal bertenang dan duduk di negara tempat mereka belajar.

“Pelajar dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian pelajar sehingga Mara mendapat arahan selanjutnya untuk membawa pelajar tajaan di bawahnya pulang. Setakat ini tiada keperluan untuk membawa pelajar pulang sebagaimana gerakan pelan evakuasi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia seperti di Itali dan Iran,” demikian menurut kenyataan Mara dipetik Bernama hari ini.

Pelajar dan ibu bapa berkenaan melahirkan kebimbangan susulan banyak penerbangan ditangguhkan di seluruh dunia. Beberapa negara telah mengambil beberapa langkah membendung penularan wabak Covid-19 termasuk sekatan keluar dan masuk, penutupan lapangan terbang dan pelaksanaan halangan perjalanan.

Sehingga bulan ini, terdapat 2,932 pelajar luar negara tajaan Mara dan menurut agensi itu, UK mempunyai jumlah paling ramai iaitu 902 pelajar disusuli Australia (372), India (312), Jerman Barat (246), Ireland (225) dan AS (222).

Pelajar telah mengutarakan kebimbangan mereka berhubung keberadaan mereka di UK terutama dari segi kelayakan untuk mendapatkan rawatan sekiranya dijangkiti Covid-19.

Kebanyakan universiti telah mengubah cara pembelajaran serta peperiksaan kepada pembelajaran maya dan peperiksaan dalam talian.

Antara universiti itu termasuk University of Manchester telah menutup kawasan awamnya seperti pejabat dan perpustakaan sebagai respon susulan pengumuman sekatan keluar dan masuk separa pada 23 Mac lalu.

Ketika artikel ini ditulis, pelajar masih menunggu penjelasan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penularan virus itu sebagai pandemik berikutan ia telah merebak ke lebih 114 negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here