Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Lembaga Getah Malaysia mengingatkan semua pelesen getah beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan industri getah terus beroperasi.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan LGM hari ini, industri getah negara perlu beroperasi, demi kebaikan semua peringkat daripada pekebun kecil, pemproses, pengilang produk getah sehinggalah pengguna.

“Kegagalan beroperasi akan menyebabkan tindakan terpaksa diambil atas premis terbabit termasuk penarikan semula lesen oleh pihak Lembaga Getah Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Arahan terbabit akan berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April, 2020, atau sehingga makluman baharu oleh pihak kementerian.

“Sebagai langkah keselamatan, arahan untuk beroperasi masih tertakluk kepada langkah-langkah keselamatan oleh KKM seperti pemakaian topeng muka, sarung tangan serta penggunaan cecair pencegah kuman,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kementerian dan LGM menerima aduan mengenai premis pembeli getah yang tidak beroperasi ketika ini walaupun arahan telah dikeluarkan untuk semua premis terbabit dibuka sepanjang tempoh PKP berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here