Covid-19: Penduduk di dua kawasan Simpang Renggam ‘dikurung’

0
253
Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang menjadi kawasan pertama dikenakan PKPD

CYBERJAYA – Dua kawasan di Simpang Renggam, Johor menjadi kawasan pertama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan terdapat 61 kes positif Covid-19 melibatkan penduduk di kawasan tersebut.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perintah penguatkuasaan itu yang akan bermula pukul 12 tengah malam ini melibatkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Beliau berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil berikutan jumlah jangkitan positif Covid-19 yang tinggi di daerah Kluang.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 83 kes positif Covid-19 di Kluang dan daripada jumlah itu, 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini hingga 9 April depan.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Katanya, menerusi langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Ismail Sabri berkata, menerusi langkah tersebut semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sepanjang tempoh tersebut pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Beliau berkata, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here