Covid-19 : Pengantin redha tunda majlis

0
458

Natasha Amirah Aminuddin dan suami Rafi’uddin Rosdi yang diijab kabul pada 20 Februari lalu terpaksa menunda majlis perkahwinan mereka sehingga tamat perintah kawalan pergerakan ekoran penularan Covid-19.

CYBERJAYA – Penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini sehingga memaksa kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Selain menjejaskan sektor perniagaan, larangan penganjuran perhimpunan atau sebarang majlis secara terbuka turut memberi kesan kepada orang ramai yang terlibat dalam majlis-majlis kenduri.

Pasangan pengantin baharu, Natasha Amirah Aminuddin, 26, dan suami Rafi’uddin Rosdi, 28, merupakan antara yang terpaksa akur dengan perkembangan semasa ketika ini.

Selepas diijab kabul pada 20 Februari lalu, Natasha yang dijadual melangsungkan perkahwinan di Dewan Sekolah Menengah Selama, Kedah pada 21 Mac ini terpaksa menunda tarikh majlis kepada 4 April.

“Semuanya sudah dirancang dengan baik tapi majlis ini terpaksa ditunda kerana keadaan tidak mengizinkan.

“Walaupun sedikit ralat tapi kami akur kepada perintah kerajaan demi kesihatan para tetamu yang bakal hadir,” katanya kepada Malakat Tribune ketika dihubungi hari ini.

Natasha yang bertugas sebagai penyelia tapak pembinaan berkata, walaupun semua perancangan seperti tempahan makanan, kelengkapan kenduri dan pakej fotografi telah ditempah, ia terpaksa ditunda.

“Alhamduillah semua pihak yang menyediakan perkhidmatan itu faham dengan keadaan semasa. Jadi tiada masalah sangat bab itu.

“Cuma sedih sikit sebab pakej bulan madu yang kami sudah tempah terpaksa dilupakan buat masa ini,” katanya yang menjemput kira-kira 1,000 tetamu pada hari perkahwinannya.

Natasha yang bertemu jodoh dengan Rafi’uddin seorang jurutera berharap krisis kesihatan yang berlaku akibat virus Covid-19 itu akan dapat ditangani oleh kerajaan tidak lama lagi.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, pihak pengantin menyediakan pencuci tangan (hand sanitiser) dan menggalakkan tetamu memakai topeng muka.

“Insyallah majlis akan diadakan selepas habis tempoh perintah kawalan pergerakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here