Covid-19: Pengguna jangan panik

0
195

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Para pengguna dinasihatkan agar tidak panik membeli barangan keperluan berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, suasana panik adalah situasi yang paling mudah mendedahkan pengguna kepada manipulasi dalam pasaran.

“Mereka yang mengambil kesempatan melakukan pencatutan dan mengawal harga dan bekalan barangan akan menggunakan segala peluang keemasan ini untuk meraih keuntungan lumayan.

“Kami percaya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menggerakkan segala langkah perlu untuk memantau pasaran agar tidak berlaku mereka yang melanggar undang-undang yang sedia ada.

“Adalah sangat perlu semua pengguna juga tidak mudah terperangkap dalam keadaan diluar dugaan ini kerana wabak ini sedang mencetuskan krisis global yang rumit untuk ditangani secara bersendirian,” katanya dalam hantaran melalui akaun Facebook miliknya hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam keadaan yang sangat rumit ini, pengguna perlu memberi kerjasama dengan pihak berkuasa supaya keadaan dapat dikawal dengan bijak.

“Dorongan untuk membeli barangan secara pukal kerana melihat orang lain berbuat demikian adalah tidak bijak.

“Pengguna perlu bijak dan berhemah, dapatkan maklumat tepat dan jangan terpedaya dengan maklumat palsu yang mencetuskan panik,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar pihak Dewan Perniagaan turut berperanan mengawal ahli pengeluar dan peniaga agar beretika dalam perniagaan mereka dalam keadaan yang sangat sukar ini.

“Kami menyarankan pengguna mengikuti dengan rapi perkembangan terkini mengenai wabak Covid-19 daripada sumber rasmi kerajaan dan hanya mendahulukan keperluan asas dalam pembelian dan pastikan penjual tidak melakukan pencatutan.

“Laporkan kepada pihak berkuasa jika ada pelanggaran undang-undang yang berkaitan dengan undang-undang perlindungan pengguna.

“Pada masa sama pastikan segala nasihat pihak kerajaan untuk mencegah wabak ini dipatuhi,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here