Covid-19: Perintah Kawalan pergerakan mungkin dilanjutkan

0
208

CYBERJAYA- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan perbincangan bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan akan ditentukan berdasarkan tahap penularan terkini wabak Covid-19 minggu depan.

Perdana Menteri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bermesyuarat bagi menentukan langkah selanjutnya sebelum berakhir tempoh perintah terbabit pada 31 Mac ini.

“Sama ada kita nak lanjutkan (Perintah Kawalan Pergerakan) akan diteliti dari segi perkembangan semasa kes di negara ini.

“Jika ada penambahbaikan dengan tindakan yang diambil Kementerian Kesihatan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak, terutama kumpulan tabligh yang masih berbaki belum keluar lagi itu, kemungkinan besar perintah ini menunjukkan kesan yang positif jika angka dan data yang akan datang lebih rendah.

“Tetapi sebelum tempoh tamat pada 31 Mac ini, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil memadai atau perlu dilanjutkan lagi selama seminggu atau dua minggu lagi. Ini akan kita kaji, sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, Muhyiddin berkata, hasil laporan mendapati pematuhan kira-kira 90 peratus.

Justeru itu, Muhyiddin berharap kadar pematuhan perintah itu dapat mencapai tahap 100 peratus.

“Dari satu sudut, ia boleh dikatakan berkesan tetapi jika ada pergerakan, kita mengharapkan ia dapat dikurangkan kepada paras yang paling minimum.

“Seperti yang kita maklumkan sebelum ini, apabila keluar hanya untuk mendapatkan barangan keperluan atau ubat-ubatan seperti yang kita maklumkan kepada polis sebelum ini. Cepat beli dan segera pulang ke rumah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here