Covid-19: Peserta himpunan tabligh dijejaki

0
89

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Lebih 5,000 peserta yang menyertai himpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling dekat sini pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu sedang dijejaki oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk dilakukan ujian Covid-19.

Kesemua mereka cuba dikesan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, yang mendakwa seorang pesakit pertama disahkan Covid-19 di negara itu mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kes berkenaan dilaporkan telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini membabitkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran akaun rasmi Facebook KKM hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Brunei dalam kenyataannya mengesahkan kes pertama positif Covid-19 di negara itu dijangkiti ketika hadir satu majlis keagamaan di Malaysia.

Individu terbabit dikatakan pulang ke Brunei dengan rakannya pada 3 Mac lalu melalui Miri, Sarawak sebelum menyedari mengalami simptom jangkitan dan membuat pemeriksaan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 8 Mac lalu.

Dr. Noor Hisham berkata, semua rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan itu dan mengalami gejala, diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

Pada masa sama KKM juga turut bekerjasa dengan aplikasi BookDoc, yang boleh muat turun Google Play store (untuk android sahaja) bagi mendapatkan perkhidmatan “Health Advice” dengan doktor secara percuma melalui mesej sahaja.

“Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri, termasuk kerap mencuci tangan dengan cara yang betul, mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai topeng hidung dan mulut,” katanya.

Selain itu KKM mengingatkan semua yang tidak mengalami gejala, diminta mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan berkenaan.

“KKM meminta semua yang menghadiri perhimpunan ini memberi kerjasama kepada pihak kementerian bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

“KKM juga menggesa supaya semua perhimpunan yang membabitkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 berlaku,” katanya.-MBNews.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here