Covid-19: Rakyat Malaysia pulang dari luar negara perlu kuarantin 14 hari

0
87

PUTRAJAYA- Rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac sehingga 14 April ini. Perintah ini antara lain meliputi sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baru pulang dari luar negara.

“Bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, sejumlah kes Covid-19 melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara telah direkodkan semenjak kebelakangan ini.

Oleh itu katanya, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab serta patuh kepada ketetapan ini bagi mengelakkan dari berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat yang ingin menyalurkan sumbangan atau derma bagi membantu pihaknya menangani pandemik Covid-19.

“Sumbangan yang diterima setakat ini tidak hanya terhad kepada bantuan kewangan tetapi juga melibatkan alat-alat kelengkapan perubatan, barangan keperluan di peringkat makmal, bahan pakai buang serta keperluan perubatan lain yang berkaitan untuk kegunaan di fasiliti kementerian,” katanya.

Justeru katanya, bagi memudahkan para dermawan yang menyalurkan bantuan, berikut dikemukakan butiran sebagai rujukan orang ramai yang berminat untuk menyalurkan sumbangan tersebut.

Sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun 2-66016-0002347-5 (RHB Bank) atas nama ‘Sumbangan Perubatan KKM’.

Manakala, sumbangan dalam bentuk barangan atau peranti perubatan boleh berhubung lanjut melalui talian 03-8883 3111 (waktu operasi Isnin-Jumaat, dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang) atau melalui e-mel: sumbangancovid19@moh.gov.my; untuk perhatian Setiausaha Bahagian, Bahagian Perolehan dan Penswastaan, KKM. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here