Covid-19: Rakyat perlu beri kerjasama

0
57

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru seluruh rakyat Malaysia menunjukkan daya kawal diri yang tinggi dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain mematuhi arahan kerajaan bagi mengelakkan situasi lebih kritikal berlaku.

“Rakyat tidak harus hanya menunggu didenda baru mahu patuh kepada arahan.

“Rakyat tidak punya pilihan. Wabak ini terlalu kronik dan tidak akan terhapus selagi semua langkah yang diputuskan oleh kerajaan tidak dipatuhi rakyat.

“Sebab itu kami berpendapat selagi rakyat sendiri tidak berdisiplin untuk mengawal pergerakan masing-masing, wabak ini sukar disekat malah akan terus menular,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan diri dalam membantu kerajaan memastikan rakyat mengikuti peraturan.

“Pendekatan NGO untuk mendidik dan memujuk rakyat boleh membantu kepatuhan rakyat dipertingkatkan.

“Sekarang seluruh rakyat Malaysia perlu menunjukkan semangat kesatuan nasional untuk menghadapi krisis wabak Covid-19 secara kolektif.

“Hanya dengan disiplin dan kesabaran yang tinggi, mengawal diri, keluarga, tetangga serta masyarakat di sekeliling agar patuh kepada arahan, keadaan dapat dipulih segera,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia memerlukan pelan bertindak yang jelas untuk mengembleng seluruh aset agensi dan masyarakat demi menangani wabak ini dengan berkesan. MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here