Covid-19: Satu lagi kematian dicatat, 10 kematian keseluruhan

0
62
NOOR HISHAM ABDULLAH

CYBERJAYA – Seorang lelaki warga emas menjadi korban terbaharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak penyakit itu ialah 10 kes di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang berumur 74 tahun adalah kes ke-259 daripada kluster tabligh.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac lalu setelah mengalami simptom pada 8 Mac lalu.

Beliau telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac lalu dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatan beliau semakin merosot. 

“Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 4.05 petang, hari ini,” katanya dalam siaran langsung perkembangan Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kes kematian tersebut merupakan yang kedua hari ini selepas kes kematian kesembilan yang juga merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) .

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga tengah hari ini sebanyak 123 kes baharu dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 74 adalah daripada kluster perhimpunan tabligh manakala bakinya adalah daripada lain-lain kluster dan masih disiasat untuk kepastian.‬

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. Sebanyak 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 743 daripada kluster perhimpunan tabligh disahkan positif Covid-19 daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 25 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 139 kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here