Covid-19: Selangor kaji keperluan bazar Ramadan

0
48

PETALING JAYA- Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji keperluan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu susulan penularan wabak Covid-19 yang sudah mengorbankan 37 nyawa setakat ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dengan semua pengarah pelesenan piha berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri sedang mengkaji dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Menteri Besar akan umumkan keputusan,” katanya kepada seperti dilaporkan Free Malaysia Today hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan menjangkakan beberapa kawasan di Selangor akan diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas pihaknya mendapati terdapat satu atau dua kawasan di Selangor mempunyai taburan jangkitan tertinggi.

Dalam kemas kini kementerian pada semalam, empat daerah di Selangor iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang telah disenaraikan sebagai zon merah Covid-19.

Sebelum ini, Terengganu mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan PBT pada tahun ini bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Pembatalan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here