Covid-19: SWM Environment pupuk kesedaran urus sisa pepejal

0
178

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk melupuskan penutup hidung dan mulut serta sarung tangan yang telah digunakan mengikut tatacara yang betul bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM Environment Sdn Bhd, Dr Al’Ashari Othman berkata, penutup hidung dan mulut  serta sarung tangan yang telah digunakan untuk tujuan mencegah jangkitan Covid-19 boleh membawa risiko pencemaran dan jangkitan kepada diri sendiri ataupun kepada orang lain sekiranya tidak dilupuskan dengan cara yang betul.

Menurutnya, sisa tersebut termasuklah sisa-sisa lain seperti tisu dan plastik yang telah digunakan, tidak boleh dibiarkan terdedah atau dibuang merata-rata.

“Bagi penutup hidung dan mulut yang telah digunakan, ia perlu dilipat dua dengan memastikan permukaan luar yang telah tercemar berada di dalam.

“Seterusnya, penutup hidung dan mulut tersebut perlu dimasukkan ke dalam plastik yang diikat atau dibungkus rapi dengan kertas sebelum dibuang ke dalam tong sampah manakala, bagi sarung tangan, dengan sebelah tangan, sepit gelang sarung tangan yang sebelah lagi agar dapat mengeluarkan sarung tangan tersebut dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menunjukkan kaedah yang betul untuk membuka sarung tangan tersebut dengan memegang sarung tangan yang dilepaskan di tangan yang masih bersarung dan kemudiannya memasukkan jari di antara sarung tangan dan pergelangan tangan. “Keluarkan sarung tangan kedua dengan menggulungkannya ke bawah dan lipat ke sarung tangan pertama sebelum membuangnya ke dalam bungkusan plastik di dalam tong sampah,” katanya.
Mengulas lanjut, Al’Ashari berkata, orang ramai perlu membasuh tangan dengan sabun hingga bersih selepas membuang penutup hidung dan mulut serta sarung tangan.

Jelasnya, langkah ini bukan saja dapat mengurangkan risiko orang ramai terkena jangkitan, malah ia juga dapat menjamin keselamatan pekerja pembersihan.

Sebelum ini MBNews menyiarkan perkongsian seorang warga maya Ramu Segar memuat naik sebuah video berpakaian petugas pembersihan memohon masyarakat supaya tidak membuang sampah di tepi jalan terutama yang menunggang motosikal.

Jelas Al’Ashari juga pekerja-pekerja SWM Environment di lapangan sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko semasa menjalankan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan.

“Oleh itu, kerjasama daripada orang ramai dapat membantu mengurangkan risiko yang perlu dihadapi mereka.

“Ia menjamin keselamatan pekerja pembersihan SWM Environment sekiranya perlu menyentuh untuk mengutip sisa seperti penutup hidung dan mulut, tisu, serta sarung tangan yang telah digunakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here