Covid-19: Tahap pematuhan orang ramai tidak memuaskan

0
77
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan masih tidak berpuas hati dengan tahap pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan meskipun pihak polis menyatakan tahap pematuhan ketika ini telah mencecah 90 peratus.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah 10 peratus yang tidak mematuhi perintah larangan itu masih tinggi memandangkan jumlah penduduk Malaysia ialah kira-kira 32 juta orang.

“10 peratus bermaksud tiga juta orang, ia jumlah yang masih ramai dan banyak kawasan yang kita lihat seolah-olah tidak sedar atau sengaja buat tidak sedar ke atas larangan yang dikuat kuasa ini.

“Dengan adanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu pihak polis keadaan akan lebih terkawal lagi,” katanya dalam siaran langsung perkembangan Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga hari ini jangkitan wabak penyakit itu terus berlaku dan merebak, sehingga memerlukan perintah larangan itu dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19 bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Menyentuh mengenai penglibatan ATM dan pasukan polis dalam mengawal pergerakan orang ramai, katanya, antara tugas yang akan dilaksanakan oleh pasukan keselamatan tersebut ialah dengan mengadakan rondaan secara bersama-sama.

“Anggota tentera juga akan melakukan hebahan bersama pihak polis dalam mengawal kawasan yang dilihat sesak ketika ini dan tidak mematuhi larangan seperti pasar raya dan sebagainya, kawalan di pintu masuk sempadan serta kawasan berisiko tinggi.

“Selain tentera, yang turut akan dilibatkan ialah anggota Rela dan Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APAM). Sehingga kini sebanyak 1,462 anggota Rela dan 3,00 anggota APAM telah digerakkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga menafikan ATM akan mengambil alih sepenuhnya tugas pasukan polis dalam mengawal pergerakan orang ramai.

“Saya nak jelaskan banyak khabar angin dan cerita tidak tepat yang disebarkan apabila kita mengumumkan pihak tentera akan membantu polis pada hari ini, banyak cerita tidak betul disebarkan seperti setiap sekatan jalan raya akan ada kereta kebal dan sebagainya untuk menakutkan orang ramai.

“Penglibatan tentera adalah untuk membantu polis untuk menasihati dan saya juga sudah umumkan bahawa apa yang dilaksana mereka tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), bukan di bawah Undang-undang Darurat atau pun di bawah Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here