Covid-19: Tiada diskriminasi bawa balik rakyat Malaysia

0
110
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kerajaan menolak dakwaan mengenai berlaku diskriminasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di pelbagai negara ketika ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, dakwaan itu muncul selepas segelintir rakyat mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat mengutamakan negara yang hanya ada tiga rakyat Malaysia terkandas, berbanding jumlah lebih ramai di negara lain.

Jelas beliau, ia kerana proses membawa balik adalah tertakluk sama ada negara terbabit masih membenarkan operasi pesawat komersial atau sebaliknya.

“Sebagai contoh, di Nepal kami maklum terdapat 37 rakyat Malaysia terkandas dan saya sudah mengarahkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu untuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

“Sebahagian negara masih membenarkan pesawat komersial keluar masuk. Maka, bantuan dihulurkan Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk mendapatkan jadual penerbangan baharu ke Malaysia dan bukanlah penghantaran pesawat sewa khas ke negara terbabit.

“Manakala di negara yang tiada langsung pesawat komersial keluar masuk, Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan sejumlah peruntukan tambahan sebanyak lebih RM19 Juta bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kamarudin berkata, peruntukan RM19 juta itu tidak terpakai bagi proses membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kerana penerbangan komersial masih beroperasi di kedua-dua negara berkenaan.

“Saya merayu kepada rakyat kita di sana untuk mendapatkan penerbangan pulang secepat mungkin sebelum sekatan perjalanan dan penggantungan penerbangan berkuatkuasa.

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia berdaftar dengan pihak kedutaan kita di sana bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan,” katanya. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here