
CYBERJAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melakukan pembersihan pejabat bagi menangani penularan jangkitan Covid-19 pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman berkata, proses pembersihan itu membabitkan bangunan ibu pejabat di Bangsar, Wisma TNB di Petaling Jaya dan semua cawangan TNB.
“Selain pejabat, kita turut melakukan pembersihan di Kedai Tenaga sebanyak tiga kali sehari terutama pada pemegang pintu, kaunter, tempat duduk dan kios pembayaran.
“Pembersihan itu dilakukan supaya pelanggan dapat berurusan dengan yakin.
“Setiap pegawai di Kedai Tenaga juga dibekalkan penutup mulut dan hidung, selain penyediaan cecair pembasmi kuman di premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Roslan, TNB turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan saringan kesihatan kepada kakitangan dan pelawat.
Katanya, tindakan itu selari dengan keprihatinan pihaknya mengenai kesihatan dan keselamatan kakitangan serta semua pihak yang berurusan di pejabat TNB.
“Mencegah lebih baik daripada merawat dan disebalik kebimbangan penularan Covid-19, TNB mahu semua warga kerja dan pelawat berasa yakin dengan tahap keselamatan serta kebersihan pejabat TNB,” katanya.-MT