Covid-19: Usia lebih 60 tahun, pesakit kronik lebih serius dijangkiti

0
86

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Golongan berumur 60 tahun ke atas dan pesakit mempunyai sejarah penyakit kronik mempunyai risiko mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua golongan tersebut mengalami gejala dan komplikasi yang teruk.

Beliau memberitahu, berdasarkan kesemua kes kematian berkaitan Covid-19 yang direkod setakat ini, didapati 55.6 peratus adalah berumur 60 tahun ke atas manakala 67.6 peratus pula menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, buah pinggang dan jantung.

“Penting bagi golongan ini dan ahli keluarga mereka mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti Covid-19. Pastikan bekalan ubat pesakit adalah mencukupi dan tidak terputus,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau menambah, perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan di semua fasiliti kesihatan KKM khususnya bagi temu janji rawatan susulan dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

“Sekiranya khidmat nasihat diperlukan, orang awam boleh menghubungi Khidmat Nasihat Virtual setiap hari dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

“Mereka juga boleh mengikuti siaran langsung akaun rasmi Facebook KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi atau Siaran langsung akaun rasmi Facebook DoctorOnCall dari 3.00 hingga 3.30 petang yang akan diadakan pada Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut perkembangan wabak itu melalui saluran aplikasi Telegram CPRC KKM iaitu https://t.me/cprckkm.

“KKM akan terus memantau perkembangan itu melalui segala maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here