Covid-19: Yayasan Brainy Bunch sumbang penghawa dingin, air minuman

0
534

Oleh SITI AZIELAH WAHI 

CYBERJAYA – Prihatin dengan tugas warga kerja barisan hadapan Pusat Saringan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh dekat sini, Yayasan Brainy Bunch tampil menghulurkan sumbangan berupa lima penghawa dingin mudah alih dan 100 karton air minuman.

Sumbangan itu sebagai menghargai tugas mereka sekali gus meringankan beban dalam memastikan warga kerja hospital itu sentiasa bersemangat menguruskan kes-kes berkaitan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya terpanggil menyampaikan sumbangan kerana melihat petugas saringan Covid-19 menjalankan operasi di dalam khemah luar bangunan hospital itu.

Beliau menambah, suhu yang panas menyukarkan petugas dan mendedahkan mereka kepada ‘heat wave’ yang merbahaya.

“Apabila menerima maklumat itu, kami merasakan satu tanggungjawab membantu pejuang kita iaitu petugas barisan hadapan yang terpaksa berdepan risiko tinggi dalam menangani wabak Covid-19.

“Kita terpanggil untuk membantu dengan menghantar 100 karton air mineral dan menyumbangkan lima penyaman udara untuk pasukan penyaring Covid-19 hospital berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil menambah, sumbangan kecil itu diharap memberi semangat kepada insan-insan hebat yang merupakan barisan hadapan negara dalam menghadapi wabak sangat berbahaya itu. 

Dalam pada itu, Pengarah Projek Yayasan Brainy Bunch, Zabrina Abu Bakar berkata, sumbangan berkenaan untuk keselesaan petugas dan pesakit di situ.

Katanya, menyedari tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, pihak Brainy Bunch memilih untuk menghulurkan bantuan dengan menyumbang barangan yang difikirkan dapat membantu pekerja dan pesakit

“Kami sedar gelombang kedua Covid-19 yang sedang menyerang negara ini menyebabkan lebih banyak mangsa terlibat, oleh itu pihak Hospital dan kakitangan juga perlu bersedia dengan semua keperluan,” katanya.

Sebanyak enam kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif positif virus tersebut kini mencecah 99 kes.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 24 kes sudah pulih sepenuhnya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here