‘Datang 2 minggu awal lihat pembukaan Malakat Mall’

0
196

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

RAUDHAH CITY – Seorang pesara kerajaan teruja apabila sanggup datang dua minggu lebih awal untuk melihat sendiri pembukaan Pusat Beli Belah Malakat Mall di sini, esok.

Mohammad Salleh Montel berasal dari Durian Daun, Melaka berkata, dia teruja kerana diberitahu oleh anaknya terdapat sebuah pusat beli belah yang menghimpunkan semua produk daripada usahawan Muslim.

Tambahnya, dia datang ke rumah anaknya di sini pada 29 Februari kerana menyangka Malakat Mall akan dibuka 1 Mac lalu.

“Saya terlalu teruja dengan Malakat Mall ini. Apabila saya dengar ada orang Melayu mahu membangunkan sebuah pusat beli belah, meremang bulu roma saya kerana inilah yang ditunggu-tunggu.

“Kebetulan saya minta anak datang ambil saya kerana tidak boleh datang sendiri berikutan kereta menghadapi masalah. Saya hendak datang kerana tidak mahu ketinggalan melihat pembukaan Malakat Mall esok,” katanya ketika ditemui dalam pusat beli belah itu hari ini.

Mohammad Salleh menambah, dia berbangga kerana ada orang Melayu mengambil inisiatif membuka sebuah pusat beli belah yang menghimpunkan produk usahawan Muslim dan bumiputera.

Jelasnya, dia tertarik dengan konsep Malakat Mall kerana selama ini masyarakat terutama golongan Muslim berbelanja di tempat lain yang diuruskan oleh bukan Muslim.

“Saya berada di rumah anak saya sejak dua minggu lalu untuk menunggu pembukaan Malakat Mall kerana ada pelbagai produk dijual di sini dan lebih menarik semuanya keluaran orang tempatan,” katanya yang juga seorang pakar motivasi.

Katanya, sejak kempen Buy Muslim First (BMF) dilancarkan tahun lalu, dia amat menyokong usaha itu kerana telah mengamalkan membeli produk keluaran Muslim sejak awal lagi.

“Apabila saya menganjurkan kursus, saya turut menyedarkan kepada peserta supaya membeli produk daripada usahawan Muslim. 

“Saya membeli produk keluaran Muslim walaupun harganya mahal sedikit tetapi puas kerana dapat membantu mereka,” katanya. – MBNews 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here