Datang dari Gua Musang ke Malakat Mall

0
1408

RAUDHAH CITY – Orang ramai yang mengunjungi Malakat Mall di CDB3, Cyberjaya di sini terharu dapat menjejakkan kaki ke pusat beli belah itu yang dibangunkan khusus menghimpunkan produk-produk usahawan Muslim di negara ini.

Rata-rata yang ditemui kagum kerana sudah ada tempat usahawan Muslim memasarkan produk mereka di pusat beli belah itu.

Selain masyarakat di sekitar Lembah Klang, ada juga pengunjung dari Kelantan dan Melaka datang untuk berbelanja ke pusat beli belah itu.

Seorang pesara kerajaan, Yusof Abu Hassan, 69, berkata, dia datang dari Masjid Tanah, Melaka setelah mengetahui pusat beli belah itu dibuka kepada orang ramai, semalam.

Menurutnya, bukan mudah menyaksikan sebuah pusat beli belah menghimpunkan segala produk usahawan Muslim kerana ia jarang ditemui di negara ini.

“Saya sampai di sini pukul 11.30 pagi setelah mengetahui Malakat Mall dibuka kepada orang ramai. Hari ini saya meninjau suasana di dalamnya. Alhamdulillah banyak produk Muslim dijual di sini.

“Saya akan datang semula dan didoakan semoga Malakat Mall terus berjaya,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Pendapat itu disokong isterinya, Kamsiah Sahar, 61, yang terkejut kerana ada produk Muslim dalam pasar raya Raudhah Grocer sukar ditemui di pasar raya lain.

“Saya doakan moga Malakat Mall berjaya dan berharap umat Islam terus menyokong usaha ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Aizuddin Sulaiman, 63, menyifatkan Malakat Mall sebagai satu kebangkitan ekonomi umat Islam.

Aizuddin yang berasal dari Gua Musang, Kelantan menambah, dia dan isteri sanggup datang dari jauh semata-mata melihat pusat beli belah itu dari dekat.

“Saya dan isteri singgah di rumah anak di Petaling Jaya semalam sebelum dibawa ke Malakat Mall. Saya berbesar hati kerana segala produk yang dijual di sini adalah daripada usahawan Muslim. Saya doakan semoga usahawan kita bertambah maju,” ujarnya.

Bagi isterinya, Hasnah Osman, 60, dia seronok kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki ke pusat beli belah itu.

Menurutnya, dia mengetahui pembukaan Malakat Mall itu melalui media sosial Facebook yang menyiarkan kisah tentang pusat beli belah tersebut.

“Rasa seronok kerana akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke sini. Saya berharap Malakat Mall dapat dibuka di Gua Musang sekali gus menyemarakkan lagi produk-produk keluaran Muslim,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here