Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tiba di Istana Negara bagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan.
Petang tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet beliau yang akan memacu pentadbiran kerajaan ke arah yang lebih baik.
Selepas seminggu dilantik sebagai Perdana Menteri, rakyat ternanti-nanti siapakah barisan Kabinet beliau yang akan bersamanya untuk bekerja bersama demi rakyat.
Spekulasi demi spekulasi timbul. Malah ada dalam kalangan pemimpin politik yang mahu tidak disenaraikan dalam Kabinet itu.
Pemilihan kali ini dilihat amat tepat dalam melaksanakan aspirasi rakyat. Jika dilihat barisan Kabinet atau lebih dikenali Pasukan Muhyiddin sudah tentu mereka menggalas tanggungjawab berat dalam mengembalikan kepercayaan rakyat selepas apa yang telah berlaku dua minggu lalu.
Percaturan Muhyiddin dalam memilih barisan Kabinetnya menjawab segala persoalan rakyat. Paling mengejutkan kemasukkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Holding Bhd., Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Pasukan Muhyiddin.
Sudah tentu ramai tidak menyangka kedua-dua tokoh itu yang bukan dalam kalangan ahli politik menyertai barisan Kabinet baharu. Bagi penulis kehadiran kedua-dua tokoh itu mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ucapan tahniah dan pujian kepada barisan Kabinet baharu ini bertebaran dalam media sosial. Malah ada dalam kalangan pemimpin itu juga merupakan idola mereka.
Disebalik pujian itu, rakyat mendambakan keadaan ekonomi negara dan sosial yang berlaku sejak kebelakangan ini diharapkan kembali pulih.
Mereka mahukan pemimpin dekat di hati rakyat. Ambil tahu masalah rakyat. Selesaikan dengan berhemah. Paling utama keputusan yang dibuat nanti mengutamakan rakyat dan negara.
Penulis yakin dengan pasukan Kabinet ini mampu membawa Malaysia ke landasan yang tepat. Pedulikan anasir-anasir luar yang mahu meruntuhkan kerajaan baharu ini.
Doa rakyat Malaysia bahawa Pasukan Muhyiddin bersatu hati dalam mengemudikan ‘bahtera’ ini kearah lebih gemilang. – MT