Doktor KKM korban baharu Covid-19

0
439
Petugas KKM tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila seorang doktor KKM meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini

CYBERJAYA – Seorang doktor perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi korban terbaharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat wabak itu di Malaysia adalah sembilan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian terbaharu itu juga merupakan kes kematian pertama dalam kalangan kakitangan kesihatan.

“Kes kematian kesembilan adalah merupakan kes kematian pertama di kalangan kakitangan kesihatan yang melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia yang juga kes ke-890 berusia 48 tahun yang merupakan seorang doktor perubatan KKM.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac lalu setelah mengalami simptom ‘Severe Acute Respiratory Infection’,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, allahyarham telah disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac lalu dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac lalu setelah keadaan kesihatannya merudum.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 10.33 pagi hari ini.

“Kes jangkitan Covid-19 ini disyaki bukan dari dalam kalangan barisan hadapan mahupun daripada rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit Covid-19. Ia adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang mewakili seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here