Dua kakitangan Maybank positif Covid-19

0
189

KUALA LUMPUR – Maybank hari ini mengesahkan dua kakitangannya, masing-masing dari cawangan Auto Finance Sibu Central (AFSC) di Sarawak dan Dataran Maybank, Bangsar dijangkiti Covid-19.

Pekerja dari cawangan AFSC telah dikuarantin di rumah sejak 14 Mac lepas dipercayai terdedah kepada anggota keluarga yang disahkan positif wabak itu.

Ujian selanjutnya, mendapati kakitangan terbabit turut positif Covid-19.

Manakala kakitangan dari Dataran Maybank, Bangsar mula tidak sihat pada 18 Mac selepas dipercayai terdedah kepada anggota keluarga yang positif Covid-19.

Beliau diuji positif pada 20 Mac dan dikuarantin di rumah.

“Sebagai mematuhi prosedur standard Maybank, pengesanan segera telah dibuat bagi memaklumkan mereka yang pernah berhubung dengan kedua-dua pekerja, mereka ini turut menjalani pemeriksaan dan dikuarantin di rumah,” kata Maybank dalam satu kenyataan.

Maybank Sibu Central (yang terletak di atas AFSC) dan AFSC akan ditutup sehingga 31 Mac untuk tujuan pembersihan.

Pelanggan boleh melakukan transaksi mereka di cawangan Sibu yang terletak kira-kira 800 meter, lain-lain cawangan atau menggunakan platform perbankan secara dalam talian.

Maybank juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia mematuhi garis panduan kesihatan yang diperlukan dan telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya untuk memastikan perkhidmatan penting perbankan tidak terganggu.

Menurut bank itu, sejak Januari lalu, pihaknya telah mengambil tindakan pencegahan dan kebersihan ke atas operasi perbankan fizikalnya bagi mengurangkan sebarang risiko kesihatan yang timbul daripada penyebaran Covid-19, kakitangan turut disediakan peralatan perlindungan diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here