Dua korban Covid-19 di Malaysia hari ini

0
81

CYBERJAYA- Malaysia merekodkan dua kematian akibat wabak Covid-19, iaitu pesakit dari kes ke-178 dan ke-358.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengesahkan perkara berkenaan dalam sidang akhbarnya hari ini.

Beliau berkata, kes ke-178 membabitkkan seorang lelaki yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.

Kes-358 pula katanya, melibatkan seorang lelaki berumur 60 tahun di Kuching, Sarawak.

“Pesakit kes ke-178 adalah seorang lelaki warga Malaysia berusia 34 tahun menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling dan mengalami demam pada 5 Mac lalu.

“Pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru dan disahkan positif Covid-19.

“Lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan dan kesihatan mangsa mula merosot sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.

Menurutnya, pesakit kedua yang meninggal dunia adalah kes ke-358 iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun.

“Pesakit mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis dan dikesan mempunyai gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas.

“Mangsa dirawat di Hospital Umum Sarawak sebelum disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke ICU.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi di hospital berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya mengesahkan kematian Paderi itu adalah yang pertama di Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Dr. Adham memaklumkan, sebanyak 120 kes baharu dicatatkan hari ini menjadikan keseluruhan kes di Malaysia sebanyak 673 kes.

Dr. Adham berkata, daripada jumlah berkenaan 95 kes positif adalah berkaitan kluster tabligh di Masjid Sri Petaling.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here