DUN Kedah mungkin bubar?

0
304

ALOR SETAR – UMNO Kedah bersedia menghadapi sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk kemungkinan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mengejut.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) bakal memberi kesan kepada Kedah tidak lama lagi.

Tegasnya, sebarang perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini harus mengikut lunas perlembagaan, legitimasi perundangan dan perlu menitik berat kepentingan rakyat.

“Kita yakin Muafakat Nasional (MN) Kedah kini bersiap siaga dalam ‘mode’ pilihan raya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pembubaran DUN secara mengejut.

“Difahamkan, proses pembahagian kerusi Parlimen dan DUN antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pas hampir selesai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung dalam tempoh setahun hingga tiga tahun lagi.

“Proses pembahagian kerusi MN di Kedah dilihat lebih strategik dan mudah tanpa perlu memikirkan perkongsian kerusi dengan pihak lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) dijangka memberi sokongan kepada PN di Kedah, sekali gus menyebabkan pertukaran kerajaan negeri tidak dapat dielak.

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan Pas menguasai 15 kerusi, PKR (7), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6), Parti Amanah Negara (4) dan masing-masing dua daripada UMNO dan DAP.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, pihak yang enggan bersama MN boleh mencuba menjadi calon PH pada pilihan raya akan datang.

“Jika berlaku pertembungan dua penjuru antara MN dan PH, kita yakin rakyat di seluruh negara lebih yakin dengan kemampuan MN dan kami yakin mampu menewaskan PH di majoriti kerusi Parlimen dan DUN.

“Justeru, UMNO Kedah berharap semua pihak bersabar dan teguh beristiqamah dalam perjuangan, teruskan usaha, berdoa dan bertawakal,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here