Empat kawasan dikenal pasti zon merah Covid-19

0
275

KUALA LUMPUR – Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras dikenal pasti sebagai zon merah Covid-19.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, keempat-keempat kawasan tersebut diletakkan di bawah pemantauan rapi pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kawasan-kawasan ini dikategorikan sebagai zon merah Covid-19.

“Pemantauan rapi akan dilakukan dalam kawasan tersebut terutamanya di lokasi-lokasi yang telah merekodkan kes positif Covid-19,” katanya dalam sidang video yang disiarkan melalui Facebook dipetik MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, Annuar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mewartakan 11 lokasi termasuk Labuan di bawah bidang kuasanya sebagai stesen kuarantin untuk pesakit-pesakit Covid-19.

Stesen-stesen tersebut akan mula beroperasi esok.

Bagi memastikan arahan PKP dipatuhi, seramai 5,000 orang termasuk 1,413 anggota tentera, 1,500 anggota polis yang sedang bertugas dalam tiga syif akan digerakkan ke beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan.

“Dengan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, kami boleh meningkatkan jumlah sekatan jalan raya di sekitar bandaraya dari 40 kepada 58.

“Pertambahan sekatan jalan raya ini adalah untuk memberi bantuan kepada orang awam dan dalam masa sama memastikan pergerakan tanpa tujuan munasabah disekat,” katanya lagi.

Menurut Annuar, anggota keselamatan dan penguatkuasaan akan memantau dan meronda kawasan sekitar Chow Kit, Brickfields dan Selayang kerana beliau menerima laporan yang mengatakan terdapat premis dan pelanggan di kawasan tersebut yang masih belum mematuhi PKP sepenuhnya.

Beliau juga menggesa jawatankuasa pengurusan bangunan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terutamanya di lokasi-lokasi padat penduduk untuk memainkan peranan mengawal pergerakan penduduk.

Selain itu, Annuar menyeru orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan termasuk penutup hidung dan mulut kepada pekerja barisan hadapan untuk menghubungi pejabat penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak di talian 03-26179505 and 03-26179885.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here