Firdaus Wong kongsi hasrat bantu salurkan dana buat golongan B40

0
97

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam perkongsian di Facebooknya hari ini berkongsi hasrat untuk turut serta membantu mengedarkan keperluan asasi kepada golongan B40 melalui Program Zero Hunger.

Menurutnya, usaha Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim bersama Raudhah Grocer, Brainy Bunch dan pelbagai lagi syarikat yang mengedarkan keperluan asasi itu perlu dipuji.

“Multiracial Reverted Muslims (MRM) akan menyumbang RM10,000 bagi membantu usaha murni mereka.

“Saya dan beberapa kakitangan telah ke Malakat Mall untuk membantu serta melakukan satu mini forum menyeru masyarakat untuk turut membantu.

“Setelah mendengar kes-kes yang telah dibantu oleh mereka serta hampir 10,000 permohonan dari golongan B40 yang hampir terputus bekalan makanan, secara spontan semasa dalam forum saya mengumumkan bahawa kami di MRM akan menyumbang RM10,000 bagi membantu usaha murni mereka,” katanya.

Firdaus berkata, beliau percaya sumbangan dari MRM itu selari dengan visi dan misi serta yakin penyokong dakwah juga mahu melihat dana yang disumbangkan orang ramai untuk dakwah dan juga kebajikan.

Katanya, ianya juga selari dengan seruan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin supaya NGO bersama memainkan peranan ketika negara dilanda Covid-19.

“Kami menyahut seruan itu,” kongsinya lagi.

Beliau berkata, bantuan kepada B40 ini adalah terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

Katanya, beliau menyeru semua pihak untuk turut melabur di dalam saham akhirat dengan memberikan sumbangan bagi membolehkan lebih ramai golongan B40 mendapat bekalan makanan asasi yang mencukupi selama dua minggu.

Sementara itu, Mohd. Fadzil mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dana yang diberikan.

“Da’wah bil maal!, ini adalah masa rakyat buktikan dengan tindakan yang bukan dengan hanya kata-kata.

“Terima kasih MRM atas sumbangan untuk dana bantuan ZeroHunger B40.

“Jom ikut Ustaz Firdaus Wong menyumbang di www.sadaqahmarket.com,” kongsinya dalam laman Facebook miliknya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here