Gelagat petugas kesihatan curi perhatian warga maya

0
689

Faiqah Natasha dalam hantaran Facebooknya yang dikongsi lebih 7,000 pengguna.

CYBERJAYA – Gelagat mencuit hati seorang kakitangan pengendalian pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh yang tular melalui Facebook mendapat penghargaan pelbagai lapisan masyarakat dan dianggap sebagai wira.

Bukan sahaja melucukan, gambar Faiqah Natasha yang membuat aksi ala Kung-Fu master dalam pakaian perlindungan diri (PPE) itu turut terselit mesej pengorbanan seorang ibu dan isteri yang menyentuh hati warga maya.

Melalui hantaran bergambar pada Isnin lalu, Faiqah berkata;

“Inilah saya. Cuba mencari sesuatu untuk berjenaka dalam situasi wabak yang sangat mengecewakan sekarang.

“Kami terpaksa memakai PPE setiap kali mengendalikan pesakit Covid. Masuk bilik pengasingan kena pakai, keluar bilik ISO kena cabut dan buang. Kemudian terus mandi.

“Hari ini sahaja dah lebih 5 kali mandi, sebab saya adalah seorang ibu yang menyusukan anak. Saya ada anak berusia 5 bulan, masih menyusu kat rumah.

“Saya super paranoid sehingga mandi setiap kali sebelum tempoh 4 jam menyusu. Bayangkan,” luah Faiqah mengenai rutin harian yang terpaksa dilalui setiap hari.

Dalam nada jenaka juga, anak kelahiran Johor Bahru itu turut berkongsi bagaimana dia bertindak memotong pendek rambutnya untuk memudahkan tugasan di tempat kerja dan di rumah.

“Kecewa dengan keadaan itu (perlu mandi dengan kerap), saya mencapai gunting dan memotong rambut saya. Kenapa? Sebab tak sempat nak kering walaupun ada pengering rambut.

“Ia menakutkan kerana saya kelihatan tidak ubah seperti Ronald McDonald. Tapi saya ada keyakinan diri yang hebat untuk melakukannya (gunting rambut),” katanya.

Dalam hantaran itu, Faiqah turut melahirkan rasa syukur kerana memiliki suami yang memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikul sebagai petugas kesihatan.

“Balik ke rumah Khairi (suami) nampak rambut saya. Dia menarik dan memeluk saya rapat lalu berkata; Awak botak macam mana pun, saya tetap sayang awak. Di hadapan Haris dan Nayla (anak).

“Beberapa minit kemudian, semasa sedang memakaikan baju kepada Haris, dia mengatakan rambut saya kelakar tapi mummy cantik dan dia sayang mummy,” katanya dalam hantaran yang dikongsi kira-kira 7,500 kali dan mendapat hampir 30k tanda suka itu.

Faiqah Natasha bersama suami dan anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here