Hantar barang keperluan, makanan di pusat pengumpulan JKM – Ismail Sabri

0
170
Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin menyumbang barangan diminta menghantar ke pejabat Jabata Kebajikan Masyarakat Daerah untuk diedarkan.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyumbang barangan keperluan atau makan diminta untuk menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pejabat JKM daerah kini berfungsi sebagai pusat pengumpulan sebelum ia diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Banyak NGO yang tampil ke depan bagi membantu dengan menghantar bekalan makanan dan sebagainya. Kerajaan ingin ucapkan terima kasih di atas keprihatinan mereka.

“Bagaimanapun, bagi mengurangkan pergerakan, kita tidak boleh membenarkan sebahagiannya bebas untuk keluar dengan alasan mahu menghantar makanan.

“Oleh itu saya ingin menasihatkan NGO supaya hantar bekalan itu ke pusat yang diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu di bawah JKM di setiap daerah,” katanya di sidang akhbar, hari ini.

Ismail Sabri menambah, barang keperluan atau makanan yang disumbangkan NGO akan diagihkan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari rumah ke rumah.

“Ini adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu usaha kita mahu menghadkan pergerakan rakyat dalam usaha kita melawan penularan virus Covid-19 ini.

“Saya sekali lagi menasihatkan kepada semua NGO supaya menghantar sumbangan yang mereka ingin sampaikan ke pusat pengumpulan disediakan. Kami akan agihkannya kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here