Harga siling baharu penutup mulut, hidung diumum esok

0
69
Kerajaan akan mengumumkan harga siling baharu untuk penutup mulut dan hidung esok beirkutan permintaannya yang tinggi

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengumumkan harga siling baharu bagi penutup mulut dan hidung esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan berpendapat harga siling iaitu RM2 bagi sekeping alat perlindungan bagi mencegah penularan Covid-19 itu masih tinggi.

“Harga siling untuk topeng muka yang ditetapkan dengan harga RM2 terlalu tinggi, Perdana Menteri juga tidak setuju. Esok kita akan berbincang dalam mesyuarat supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melihat semula harga itu dan dapat diturunkan lebih banyak lagi.

“Ini kerana tiada sebab harganya dinaikkan sebab kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan duti import bagi pembelian topeng muka,” katanya dalam siaran langsung perkembangan Covid-19 hari ini.

Orang ramai dan pelancong memakai penutup hidung dan mulut berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar perkarangan KLCC.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi mengumumkan import penutup mulut dan hidung dibenarkan bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran domestik ekoran penularan wabak Covid-19.

Katanya, kebenaran untuk mengimport itu adalah susulan harga siling penutup mulut dan hidung yang dinaikkan daripada 80 sen sekeping kepada RM2 sekeping sekarang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah membuat tempahan sebanyak 10 juta unit topeng muka tersebut dari China dan kosnya dibiayai oleh kerajaan.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada petugas yang berada di barisan hadapan dan terlibat secara langsung dalam merawat dan mencegah Covid-19.

“Keutamaan ialah untuk barisan hadapan yang terlibat secara langsung macam pekerja hospital, polis, tentera, Rela dan sebagainya. Selebihnya akan diagihkan di kawasan di kenal pasti berisiko tinggi.

“Jika ada lebihan lagi, kerajaan akan tentukan macam mana kaedah pengagihannya,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here