Hospital Melaka rayu orang ramai derma darah

0
283
Hospital Melaka merayu orang ramai menderma darah menjelang Ramadan ini

CYBERJAYA – Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Melaka merayu orang ramai menderma darah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi setiap hari terutamanya ketika menjelang bulan Ramadan pada April dan Mei ini.

Memetik laporan Bernama, jabatan itu memaklumkan secara purata sebanyak 80 hingga 90 beg darah diperlukan setiap hari untuk kegunaan pesakit di hospital itu, namun situasi Covid-19 menyebabkan kebanyakan kempen derma darah terpaksa dibatalkan.

“Walaupun kita kini dalam keadaan pandemik Covid-19, masih terdapat pesakit di hospital yang memerlukan pemindahan darah setiap hari untuk kelangsungan hidup mereka.

“Justeru itu, kami ingin menyeru para penderma darah yang sihat dan tiada risiko supaya datang ke Tabung Darah Hospital Melaka untuk menderma darah kerana pada waktu pandemik ini hanya di tabung darah sahaja pendermaan darah boleh dilakukan,” menurutnya.

Menurut jabatan itu, waktu operasi Jabatan Perubatan Transfusi kini dibuka pada waktu rehat iaitu Isnin hingga Khamis pada 1 tengah hari hingga 2 petang manakala Jumaat pada 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang berkuat kuasa kelmarin.

Selain itu, waktu operasi juga dipanjangkan iaitu Isnin hingga Jumaat bermula 8 pagi hingga 9 malam manakala Sabtu dan Ahad bermula 11 pagi hingga 4 petang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk Facebook rasmi jabatan itu iaitu ‘melakabloodbank’ atau hubungi 06-2892873/2871. MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here