HSB terima kurniaan peralatan perubatan daripada Sultan Kedah

0
189

CYBERJAYA – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Arif berkenan mengurniakan peralatan perubatan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah hari ini.

Menerusi hantaran akaun rasmi Facebook Kedah Royal Family, kurniaan peribadi berjumlah lebih RM300,000 itu bagi membantu pihak HSB menangani wabak Covid-19.

Turut mengurniakan peralatan itu ialah Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Majlis pengurniaan sumbangan itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yang mewakili Sultan Kedah kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang dan Pengarah HSB, Dr. Zaiton Udin di Wisma Darul Aman.

Antara kelengkapan yang dikurniakan termasuklah lima unit Infusion Pump; 20 unit Mechanical Bed; Electrical Bed (5); (5) Mindray SP5; Mindray VP5 (10) dan masing-masing satu Medical Emergency Cart; Defibrillator; Mindray beneHeart R3A ECG 3CH; Mindray VS600 serta Biological Isolation Chamber.

Sementara itu, Dr. Mohd. Fikri berkata, kurniaan peralatan perubatan daripada Kerabat DiRaja Kedah amat bermakna dan bertepatan untuk bersama mencegah penularan Covid-19 khususnya di Kedah.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan HSB amat menghargai dan menjunjung kasih atas pemberian kurniaan ini yang sudah semestinya dapat membantu petugas kesihatan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit khususnya yang dijangkiti Covid-19,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here