Ingkar perintah kawalan pergerakan satu jenayah, moral

0
125


Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Semua pihak perlu akur arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan melalui laman sosial Facebooknya berkata, keingkaran larangan merupakan kesalahan jenayah dan moral.

Menurut Takiyuddin, mengikut Seksyen 11(4) dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hukuman bagi kesalahan tersebut ialah penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“Perintah tersebut demi menjaga kemaslahatan rakyat serta kepentingan semua berdasarkan keadaan semasa, di mana bilangan suspek serta mangsa COVID-19 yang semakin meningkat serta terbaharu, melibatkan kes yang meragut dua nyawa,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat supaya tidak menganjur sebarang perhimpunan sosial sebaliknya perlu menangguhkan sebarang perhimpunan sosial yang dirancang demi kesejahteraan negara sehingga keadaan diisytihar selamat.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Sebanyak 120 kes positif baharu dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 673 kes.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here