Isma: Wujudkan sekolah satu aliran

0
119
AMINUDDIN YAHAYA

CYBERJAYA – Kerajaan gabungan Perikatan Nasional digesa supaya segera berusaha untuk merapatkan jurang antara kaum dengan mengangkat bahasa kebangsaan dan mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, perkara tersebut perlu dijadikan landasan di dalam pembentukan Kabinet baharu yang akan dilantik.

Katanya, ia penting agar negara bukan sahaja maju tetapi pada masa yang sama rakyatnya bersatu-padu dan berpegang teguh prinsip dan nilai-nilai negara.

“Walaupun kepelbagaian bangsa dalam Kabinet adalah satu yang baik untuk negara bagi mewakili semua kaum secara umumnya, tetapi dasar-dasar utama negara yang melibatkan orang Melayu dan agama Islam tidak sepatutnya menjadi ‘bahan rundingan’ dengan menteri-menteri bukan bumiputera dan bukan Islam.

“Kita tidak mahu keberadaan mereka dalam saf kepimpinan negara ini menyebabkan banyak polisi negara yang melibatkan agama Islam dan bumiputera terpaksa dikendurkan atau ‘dikorbankan’ semata-mata untuk menjaga hati mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, barisan Kabinet yang bakal dilantik nanti mestilah dalam kalangan mereka yang layak, berwibawa dan mengiktiraf asas-asas negara seperti Islam dan Melayu.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya sedar sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan kepelbagaian bangsa, penyertaan bangsa lain dalam barisan Kabinet juga wajar.

Namun begitu, katanya, langkah tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang bagi negara dalam usaha untuk memperkasakan agenda bumiputera serta agama Islam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here