Burhanuddin Helmy Mohammad (kiri) melihat kerja-kerja pemasangan pendawaian oleh pekerjanya di Malakat Mall Raudhah City, Cyberjaya. – Gambar FARID JANUDIN
Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM
RAUDHAH CITY – Setiap insan di dunia ini berpeluang mengubah nasib hidupnya agar menjadi lebih baik malah ia bukanlah perkara mustahil untuk direalisasikan.
Bahkan usaha dan doa adalah kunci utama bagi menentukan kejayaan hidup seseorang.
Itulah dilalui oleh anak jati Kuala Lumpur pastinya mampu menjadi inspirasi buat masyarakat dalam mengubah masa depan lebih baik.
Siapa sangka hanya bermula dengan gelaran mat ‘despatch’, Burhanuddin Helmy Mohammad, 36, atau lebih mesra di sapa Bob ini kini mampu menjalani hidup lebih selesa dengan kerjayanya sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Penyelenggaraan di Brainy Bunch.
“12 tahun lalu, saya berkhidmat sebagai despatch di sebuah syarikat IT (teknologi maklumat) yang miliki oleh Mohd. Fadzil Hashim yang juga merupakan majikan saya sehingga kini. Ketika itu saya baru berusia 23 tahun.
“Kerja sebagai despatch tidak begitu banyak ketika itu, jadi saya pun buat kerja tambahan sebagai pemandu untuk syarikat dengan membuat nasi lemak yang juga dimiliki oleh majikan sama.
“Kira-kira dua tahun juga saya berkhidmat di situ sehinggalah pada 2014 diberi kepercayaan oleh bos untuk menggalas jawatan sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Penyelenggaraan di Brainy Bunch. Sejak itu boleh dikatakan kehidupan mula berubah,” katanya kepada MBNews.
“Kira-kira dua tahun juga saya berkhidmat di situ sehinggalah pada 2014 diberi kepercayaan oleh bos untuk menggalas jawatan sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Penyelenggaraan di Brainy Bunch.”
Walaupun tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bidang yang ditawarkan kepadanya, ia tidak mematahkan semangat bapa kepada tiga cahayamata ini untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Walaupun pada awalnya saya agak risau, tapi saya cuba ambil tanggungjawab ini sebagai satu cabaran. Mengenali bos, beliau seorang yang suka memberi peluang, kalau kita rasa boleh buat, maka hasilnya akan mendatangkan keuntungan kepada saya sendiri.
“Kalau mahu bercerita tentang susah senang menjalankan kerja itu memang ada tapi saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu luahkannya.
“Alhamdulillah, saya mampu galas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan apa yang boleh saya katakan, segala penat lelah selama ini amat berbaloi,” katanya.
Burhanuddin Helmy Mohammad hanya menekankan hubungan yang baik dengan Allah SWT.
Berkongsi pengalaman melaksanakan tugas dalam bidang penyelenggaraan, Bob memberitahu dia pernah tidak pulang selama tiga bulan kerana mahu menyelesaikan tugasnya.
“Antara pengalaman yang saya tidak boleh lupakan, ketika itu saya ditugasnya untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan seperti mengecat, pendawaian dan pemasangan jubin lantai di 30 buah kampus Brainy Bunch di seluruh negara.
“Apa yang mencabar, ketika itu kami hanya memiliki kekuatan lima orang termasuk saya dan setiap satu kampus perlu disiapkan dalam tempoh tiga hari.
“Bayangkan dalam masa tiga bulan saya tidak pulang ke rumah dan saat ini saya amat bersyukur kerana isteri dan anak-anak amat memahami kerjaya saya,” katanya.
Apabila ditanya apakah tip yang diamalkan sehingga berjaya mencapai kejayaan hari ini, Bob hanya menekankan hubungan yang baik dengan Allah SWT.
“Saya bukanlah seorang yang senang berputus asa dan tak ada sebab untuk berputus asa. Kalau bekerja itu, jangan terlalu memikirkan balasan, tapi laksanakannya dengan sebaik mungkin.
“Tidak kiralah mahu buat apa pun, perkara utama yang perlu kita lakukan adalah berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah sebab dengan bantuan-Nya semua kerja akan jadi lebih mudah.
“Dari segi amalan, saya tidaklah ada banyak sangat, cuma apa yang perlu diutamakan adalah hubungan dengan Allah, jangan pernah tinggal solat,” katanya.
Tunai umrah momen terindah
Pada masa sama, beliau mengakui beruntung kerana dipertemukan dengan seorang majikan yang sering memberi peluang dan mendorong untuk memperbaiki dirinya.
“Alhamdulillah, banyak peluang yang beliau berikan kepada saya sehingga saya berada di tahap ini.
“Banyak juga ilmu dikongsikan dan mana yang boleh diikuti, saya ambil sebagai panduan dan pesanan bos ketika mula bekerja agar tidak meninggalkan solat yang tidak saya lupa sehingga ke hari ini,” katanya.
Bob turut berkongsi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan iaitu menunaikan umrah bersama majikannya ketika masih bergelar ‘despatch’.
“Ketika mula sampai di Madinah, air mata saya gugur sebab tidak sangka saya boleh sampai ke tanah suci ketika itu.”
“Semuanya bermula apabila saya menyatakan hasrat untuk ke umrah kepada bos, dan secara spontan beliau terus ajak saya menunaikan umrah bersamanya. Ketika itu saya tidak rasa dia bergurau sebab selama mengenalinya, dia akan buat apa dikatakan.
“Ketika mula sampai di Madinah, air mata saya gugur sebab tidak sangka saya boleh sampai ke tanah suci ketika itu.
“Sebab masa itu saya masih lagi bekerja sebagai seorang despatch dan kalau ikutkan memang tak mampu tapi sudah tertulis rezeki saya ke sana. Saya anggap itu sebagai momen paling berharga dalam hidup,” katanya. – MT