‘Jangan derhaka kepada Agong’

0
191

CYBERJAYA – “Apa-apa bantahan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah dikira derhaka kepada Raja-Raja dan sekali gus kepada negara.”

Penegasan itu dibuat oleh Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya dengan meminta semua pihak berlapang dada menerima keputusan Seri Paduka melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Kita menyeru agar semua pihak berlapang dada untuk menerima keputusan Seri Paduka melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana ini sudah muktamad.

“Ini juga janji yang dibuat oleh semua parti sebelum keputusan Seri Paduka dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aminuddin, rakyat sudah muak dengan karenah pihak yang gilakan kuasa dan sanggup berbuat apa saja untuk mencapai kehendak mereka.

“Eloklah kita semua fokus pada agenda membaiki ekonomi bukannya membuat kekacauan.

“Kita tidak mahu kemelut politik ini berlanjutan lagi. Cukup-cukuplah. Tunggulah tiga tahun lagi untuk rakyat memilih,” ujarnya.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) sudah diberi peluang untuk berkuasa dan terbukti mengkhianati banyak janji, mengganggu dan merosakkan pelbagai perkara terutamanya yang melibatkan maruah umat Islam dan orang Melayu.

“Jadi tidak sesuai untuk mereka katakan yang peralihan kuasa ini satu pengkhianatan kepada rakyat.

“Janganlah kita jadi penderhaka kepada Agong dan jangan bersubahat dengan mereka ini. Berlapang dadalah,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here