Jangan ketepi garis panduan KKM

0
63
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Orang ramai diingatkan agar tidak membuat undang-undang sendiri sehingga mengetepikan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada polis, askar, majlis perbandaran atau pasar raya boleh menguatkuasakan keputusan wajib memakai topeng muka untuk memasuki sesuatu premis.

“Jangan membuat keputusan sendiri lebih daripada yang diperintahkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Ada pasar raya yang tidak membenarkan pelanggan masuk kerana mereka tidak memakai topeng muka. Ini tidak betul.

“Mereka boleh menjadikan itu sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi mereka tidak boleh menghentikan pelanggan daripada memasuki pasar raya.

“Polis dan tentera juga tidak boleh memerintahkan orang awam untuk memakai topeng muka, mereka hanya boleh menasihati,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri kanan berhubung PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta memberi komen mengenai aduan orang ramai sesetengah pasar raya telah mewajibkan pelanggan memakai topeng muka.

Garis panduan KKM menyatakan hanya petugas barisan depan dan mereka yang mempunyai gejala Covid-19 perlu memakai topeng muka.

Sementara itu, sebuah jawatankuasa khas diketuai oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan ditubuhkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri berkata, jawatankuasa berkenaan akan turut melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here