Jangan Libatkan Politik Isu Keselamatan Rakyat

0
212
Seorang petugas kesihatan memeriksa suhu seorang pengunjung di Malakat Mall

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA- Kerajaan diminta supaya lebih matang dalam mentadbir negara lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan kesihatan dan keselamatan rakyat tanpa melibatkan sentimen politik.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata tindakan kerajaan yang tidak memanggil menteri besar dan ketua menteri di negeri pembangkang untuk Mesyuarat Khas bagi menangani Covid-19 semalam amat dikesali.

Menurutnya tindakan itu wajar dan layak menerima kecaman pelbagai pihak, memandang Covid-19 adalah isu keselamatan rakyat yang tidak boleh dikompromi.

“Kerajaan Pakatan Nasional (PN) masih membawa sikap lama di mana pentadbiran dicampur adukkan dengan politik, yang akhirnya rakyat menjadi mangsa.

AMINUDDIN YAHAYA

“Sekarang negara semakin kecoh dengan arahan polis yang flip-flop. Jadi ia memerlukan tindakan bersepadu dan bukannya diasing-asingkan negeri,” katanya seperti dilapor Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, walaupun permohonan maaf sudah dibuat, kerajaan perlu mengadakan kembali perbincangan berkenaan bersama menteri besar dan ketua menteri yang tidak hadir.

“Kematangan berpolitik perlu ada. Cukuplah perbalahan yang sudah memakan masa begitu lama. Ekonomi semakin merudum dan rakyat makin terdesak.

“Bertindaklah sebagai seorang negarawan bukan politik jalanan,” katanya.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa kesal kerana mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengundang menteri besar dan ketua menteri dari parti itu pada mesyuarat khas bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, sekiranya ia disebabkan negeri itu ditadbir oleh pembangkang yang tidak sehaluan dari sudut politik dengan kerajaan Persekutuan, maka ia merupakan tindakan kepartian sempit yang merugikan rakyat.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali bagi pihak urusetia mesyuarat memohon maaf berikutan kekhilafan isu jemputan itu.

Beliau berkata Perdana Menteri telah mengarahkan agar semua menteri besar dan ketua menteri dijemput hadir tanpa ada sebarang pengecualian ke mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here