Jangan salahkan jemaah tabligh

0
198

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai tidak menyalahkan jemaah tabligh dalam peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Beliau juga turut menasihati mana-mana pihak tidak mendiskriminasikan golongan jemaah tabligh tersebut.

“Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh.

“Apa yang penting adalah kita bantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, kesemua jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini boleh mula membuat saringan Covid-19 esok.

Katanya, ini termasuk mereka yang tidak bergejala perlu melakukan ujian saringan.
Menurutnya, arahan dikeluarkan kepada jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah bagi tujuan itu.

“Mereka sudah dimaklumkan mengenai hal ini. Insya-Allah esok boleh datang buat saringan.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes adalah kluster tabligh,” katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 106 kes positif terbaharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 terkini 1,624.

Dr. Noor Hisham berkata, daripada 106 kes itu, 43 daripada kluster tabligh di Masjid Sri Petaling dan selebihnya iaitu 63 lain-lain kluster yang masih dalam siasatan.

“Seramai 64 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 24 memerlukan bantuan pernafasan.

“Manakala, 24 pesakit Covid-19 di Malaysia telah sembuh dan discaj hospital yang menjadikan 183 pesakit sembuh keseluruhan,” jelasnya.

Ditanya mengenai satu kematian dilaporkan hari ini, Dr. Noor Hisham berkata, pesakit itu mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-703, semasa solat Jumaat.

“Beliau mempunyai gejala selama seminggu iaitu demam, batuk dan kesesakan nafas untuk tiga hari. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 18 Mac 2020.

“Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU dan kemudiannya disahkan meninggal dunia pukul pada 5.35 pagi hari ini,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here