Jejambat persimpangan Dengkil-Kajang dibuka hujung Mac ini

0
311
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) meninjau projek menaik taraf Persimpangan FT29/FT31 di Dengkil, Sepang

CYBERJAYA – Laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer yang menghubungkan Putrajaya ke Salak Tinggi, Sepang bakal dibuka pada hujung bulan ini, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Shahabuddin Mohd. Muhaiyidin.

Memetik laporan SelangorKini, Shahabuddin berkata, projek tersebut turut membabitkan pembinaan jejambat sepanjang 120 meter merentasi persimpangan Dengkil-Kajang, menaik taraf lampu isyarat dan lampu jalan dengan kos keseluruhan RM70.471 juta.

“Projek ini dimulakan pada 23 Oktober 2017 dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jangkaan.

“Pelaksanaan projek akan meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain memberi impak besar kepada sektor ekonomi dan sosial di kawasan sekitar,” katanya dalam Program Lawatan Kerja Menaik Taraf Persimpangan FT29/FT31 di sini, semalam.

Laluan alternatif itu menghubungkan bandar Puchong, Cyberjaya, Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan selatan Sepang.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau perkembangan projek tersebut.

Beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut bukan sahaja memudahkan penduduk di sekitar kawasan tersebut berulang alik malah dapat mengurangkan kesesakan trafik di simpang empat Dengkil dan mempercepatkan perjalanan ke KLIA.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here