Jumlah hospital rawat pesakit Covid-19 ditambah

0
140

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penambahan 13 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan dan 12 hospital merawat Covid-19 di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu sebagai langkah kesiapsiagaan perkhidmatan hospital dalam menangani wabak itu.

“Sejak Februari lalu iaitu sebelum kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, KKM telah pun mengenal pasti sebanyak 57 hospital saringan dan 26 hospital yang menyediakan rawatan Covid-19.

“Ketika itu, jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 790 kes berbanding 2,626 kes hari ini.

“Kini, dengan pelbagai usaha, terdapat peningkatan 70 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 di semua negeri berbanding 57 sebelum ini. Hospital merawat Covid-19 bertambah daripada 26 ke 38 buah di mana tujuh daripadanya merupakan hospital khusus rawatan pesakit Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jelasnya, penambahan kemudahan itu menjadikan bilangan katil untuk rawatan Covid-19 telah bertambah kepada 3,994 buah katil.

“KKM juga sedang merancang menambahkan bilangan katil menerusi pengenalpastian dan pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah. Kapasiti ILKKM masih boleh dipertingkatkan lagi jika perlu.

“Fasiliti lain juga turut dikenal pasti, misalnya Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) berupaya menyediakan 600 katil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here