Kabinet 2020: Kabinet dapur atau Kabinet betul?

0
343

SELEPAS sembilan hari berteka-teki siapakah yang bakal membarisi barisan Kabinet pasukan Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya semalam pengumuman rasmi dibuat dan hari ini kesemua 70 menteri dan timbalan menteri menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia anggota Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Sejak semalam pelbagai respon mengenai pemilihan menteri dan timbalan menteri diperdebatkan. Ada yang bersetuju, ada yang membangkang, ada yang tak kisah malah lagi teruk ada yang langsung tidak tahu perubahan politik yang sedang berlaku sekarang.

Secara asasnya, barisan Kabinet yang dipilih kali ini merupakan gabungan muka baharu dan lama yang pernah membarisi Kabinet ketika zaman Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Paling menarik apabila Perdana Menteri memilih Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri penuh.

Nama Zulkifli Mohamad mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sering muncul di televisyen untuk menyampaikan kuliah agama sebelum dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan lagi. Cuma nama Tengku Zafrul mungkin kedengaran agak asing meskipun umum mengetahui beliau merupakan bos besar di CIMB Bank.

Sudah pasti pemilihan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan baharu telah difikir semasak-masaknya oleh Perdana Menteri berbanding memilih orang politik untuk menjawat jawatan penting itu. Dengan kelayakan yang dimiliki dan kemampuannya mengemudi CIMB Bank, tidak mustahil ekonomi negara yang sedang berhadapan krisis dapat dipulihkan semula. 

Selain itu, perubahan yang dibuat oleh Muhyiddin dengan tidak menyenaraikan jawatan timbalan perdana menteri dalam barisan Kabinet baharunya juga mengejutkan banyak pihak. Sebagai gantinya, beliau meletakkan empat ahli Parlimen yang mewakili parti berbeza sebagai menteri kanan.

Jika dilihat empat menteri kanan yang dipilih ini mungkin hanya Senator Dr. Mohd. Radzi Md Jidin yang belum pernah menjadi menteri penuh dan hanya pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika era PH. Namun begitu, ini bukan alasan untuk menyangkal kebolehan Mohd. Radzi yang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik dalam bidang pengauditan dan perakuanan di Universiti Tasmania.

Tiga lagi menteri kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan) dan Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) masing-masing berpengalaman menjadi menteri sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Misalnya, Ismail Sabri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera pernah mengemudi beberapa kementerian penting. Antara usaha beliau ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ialah mewujudkan Mara Digital khusus untuk usahawan bumiputera berniaga barangan komputer, telefon dan aksesori.

Selain itu, ketika berada di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani beliau turut melancarkan program Jihad Memerangi Orang Tengah bagi membantu nelayan dan petani membebaskan diri daripada cengkaman orang tengah.

Selain itu, pelantikan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Luar juga dilihat bertetapan dengan pengalaman yang dimilikinya.

Meskipun tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, peranan dan pengalaman bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ini sangat penting dalam mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia. Pasti ramai juga yang masih ingat ketika tragedi MH370, Hishammuddin antara watak penting yang menjawab soalan para media. Ketenangan dan kecekapan beliau mengawal suasana di samping kefasihan berbahasa Inggeris telah menonjolkan sisinya sebagai seorang pemimpin berkaliber. 

Pada masa sama, sejak beberapa bulan lalu, hubungan Malaysia dengan beberapa negara agak keruh sehingga terdapat negara secara terang-terangan mengkritik dan memboikot produk minyak sawit Malaysia. Dengan pengalaman dan hubungan baik beliau dengan negara luar diharapkan episod perbalahan Malaysia dan negara lain dapat diselesaikan secara menang-menang.
Senarai menteri lain yang dipilih daripada BN seperti Datuk Seri Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan), M. Saravanan (Menteri Sumber Manusia),  Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan) dan Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) tidak perlu diperkenalkan lagi kerana pernah membarisi Kabinet sebelum ini kecuali Annuar yang kembali sebagai menteri selepas lebih 20 tahun.

Seperti dijangka, dalam barisan Kabinet kali ini, jumlah yang besar juga diperuntukkan kepada kem bekas Timbalan Presiden PKR. Selain Azmin sendiri yang dilantik sebagai menteri kanan, orang kanan beliau iaitu Zuraida Kamarudin dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga mengekalkan jawatan sebagai menteri.
Selain mereka, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Mansor Othman, Ali Biju, Jonathan Yassin, Willie Mongin dan Santhara Kumar turut membarisi Kabinet.

Bagi menteri dalam kalangan Pas pula seperti Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) dan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) pastinya teruja apabila berpeluang untuk menyumbang kepada negara selepas lebih 40 tahun Pas berada di posisi pembangkang.

Tidak lengkap juga jika tidak mengulas menteri yang dipilih dari Sarawak dan Sabah seperti Fadillah; Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); dan Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) dan Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili yang dipilih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Meskipun bukan lagi berada di bawah payung besar BN seperti dalam PRU-PRU lalu, kesemua menteri dari Sabah dan Sarawak  berpengalaman luas dan pernah diberi peranan untuk memegang jawatan penting.

Untuk kali ini, peranan yang lebih besar diberikan kepada wakil dari kedua-dua negeri ini terutamanya dalam memperjuangkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam bentuk dasar dan program.

Dengan pengalaman yang dimiliki oleh sebahagian besar ahli Parlimen dalam barisan Kabinet kali ini, rasanya tiada masalah untuk menteri-menteri yang berpengalaman untuk terus memecut dengan menggunakan gear lima manakala menteri yang baharu dipilih sewajarnya diberi masa untuk menyesuaikan diri.

Ini kerana tempoh masa lebih kurang tiga tahun sebelum PRU-15 sangat singkat seperti pejam mata, buka mata.

Jika rakyat tidak melihat sebarang perubahan yang dilakukan dalam barisan Kabinet pasukan Muhyiddin ini, tidak mustahil mereka juga bakal menerima nasib seperti PH.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here